Pages

Sunday 11 December 2011

Fungsi Imbuhan "memper"

Imbuhan "memper" digunakan dengan perkataan daripada golongan kata adjektif untuk membawa maksud "menjadikan lebih lagi". Oleh itu 'memperkaya' maksudnya 'menjadikan lebih kaya',  'memperluas' maksudnya 'menjadikan lebih luas' dan seterusnya.
Perhatikan ayat-ayat ini:
  1.  Matlamat organisasi ini untuk memajukan dan memperkaya bahasa dan sastera.
Ayat ini bermaksud bahawa bahasa dan sastera itu memang kaya, tetapi matlamat organisasi itu ialah untuk menjadikannya lebih kaya lagi.

 2.  Dewan Budaya memperluas penggunaan istilah kebudayaan dan kesenian.
Dalam ayat ini memperluas penggunaan istilah membawa maksud bahawa Dewan Budaya ingin meluaskan penggunaan istilah lagi walaupun penggunaannya sudah luas.

Gerakan Cintailah Bahasa Kita adalah usaha untuk memperluas kesedaran.... (ayat ini sama maksudnya dengan ayat 2)

Sekiranya kita tidak mahu menggunakan imbuhan 'memper', kita boleh juga menggunakan imbuhan 'me' sahaja dengan diikuti oleh kata 'lagi' untuk menunjukkan makna yang sama.  Misalnya kita boleh mengatakan:
      Dia ingin memperbesarkan perniagaannya, ataupun - Dia ingin membesarkan perniagaannya lagi.

Perhatian: kata 'lagi' tidak boleh ditulis sebelum 'perniagaan' kerana kata membesarkan sebagai kata kerja transitif harus diikuti terus oleh penyambut ataupun objeknya iaitu perniagaan.  Kerana itulah dalam banyak hal, imbuhan 'memper' lebih mudah digunakan terutamanya apabila objek ayat panjang dan kata 'lagi' terpaksa ditulis sesudah objek.

(Dipetik dari "Tanya Jawab", Pelita Bahasa.)

Tingkatkan penguasaan bahasa kita...

1.  seludang



 maksud:  kelopak mayang
 takrif   :  kelopak pembalut mayang kelapa atau mayang pinang
 ayat    :  Mereka sangat gembira, seorang duduk di  atas seludang dan seorang lagi menariknya.

2.  sempurung
 maksud :  corong lampu
 takrif     :  tabung kaca penutup nyala lampu; corong lampu daripada kaca
 ayat      :  Sempurung dipasang pada pelita itu supaya apinya tidak padam ditiup angin.

3.  suar
    maksud :  isyarat dengan api
   takrif     :  nyala api yang digunakan sebagai isyarat
    ayat     :  Tentera-tentera itu memberi suar untuk memberitahukan tempat mereka berada

4.  saf

    
   maksud  :  barisan
  takrif   :  susunan beberapa orang atau benda yang merupakan deretan garisan lurus.
  ayat    :  Semasa sembahyang berjemaah, jarak antara makmun tidak boleh terlalu renggang hingga putus saf.

5.  senggang
    maksud :  lapang
    takrif    :  tidak sibuk; lapang; terluang
    ayat     :  Kerana terlalu sibuk, jarang-jarang mereka  ada waktu senggang untuk berbual

6.  selampit

   maksud : penglipur lara
   takrif    : orang yang menghibur
   ayat     :  Para penonton terhibur dengan persembahan Tok Selampit itu.
7.  senjang
     maksud :  berbeza
     takrif     :  tidak serupa sama sekali; berlainan
     ayat      :  Walaupun latar belakang mereka senjang sekali, mereka tetap berkawan baik

8.  selo
    
    maksud : sejenis alat muzik
    takrif     : alat muzik seperti biola yang diletakkan di antara lutut ketika memainkannya
    ayat      : Semuanya bergembira di pesta itu, ada yang menyanyi diiringi oleh permainan piano, selo, dram dan sebagainya.

9.  sengkela
    maksud : sengkang kaki
   takrif     : kayu untuk menyengkang kaki gajah dan sebagainya
   ayat      :  Sengkela tidak lagi dipasang pada kaki gajah-gajah itu.

10.  semu
       maksud :  bukan yang sebenarnya
      takrif     :  hanya rupanya saja seperti benar-benar,tidak sesungguhnya
     ayat       :  Mereka berasa tertipu kerana itu cuma merupakan kedamaian yang semu.

11.  sengkak
      maksud :  segah
      takrif    :  sesak dalam perut kerana kenyang
      ayat     :  Kerana makan terlalu banyak, dia berasa sengkak dan tidak boleh bergerak dengan aktif.
 
12.  semangka
     
     maksud : tembikai
     takrif    : sejenis buah, isinya banyak mengandung air dan manis rasanya
     ayat     : Bermacam-macam jenis buah dijual digerainya, rambutan, pisang, semangka, limau dan lain-lain.

13.  sepuh
       maksud :  sadur
       takrif    : lapisan logam yang tipis pada logam lain
       ayat      :  Sepuh dilapiskan pada barang-barang logam yang lama itu supaya kelihatan menarik.

14.  songel
       maksud  :  sugi
       takrif     :  tembakau yang dikemam dalam mulut
       ayat       :  Sambil berbual, tangannya mengalih-alih songel di mulutnya

15.  sumpal
       maksud :  sumbat
       takrif     : sesuatu yang digunakan untuk menutup lubang dan sebagainya.
       ayat      :  Barulah dia berasa selesa setelah menyumbatkan sumpal ke dalam kasutnya yang agak besar itu.

16.  surih
       maksud :  coret
      takrif     : garisan yang halus panjang
      ayat      : Terdapat surih di sana sini dalam karangannya.

17.  senteng
       maksud : singkat
       takrif     : tidak cukup panjangnya, singkat
       ayat      : Ibu melarang dia memakai gaun yang senteng itu.

18.  santak
      maksud  :  sampai
      takrif      : sampai ke had tertentu; hingga
      ayat       : Dia asyik membaca dari pagi santak ke petang

19. saput
      maksud :  selaput
      takrif     : lapisan yang tipis
      ayat      :  Terdapat saput hitam pada bahagian atasnya.

20.  susuh
       maksud : jalu
      takrif     :  semacam jari yang keras dan tajam di bahagian belakang kaki ayam jantan
      ayat      :  Susuh ayam jantan itu kelihatan tajam sekali

Khazanah pantun lama

Dari Bentan ke Pulau Rusa,
    Singgah makan di Pahang Tua;
Ada masa ada ketika,
    Ular lidi menelan naga.

Orang bistari mengangkat talam,
    Bedak baiduri dalam cerana;
Adakah matahari terbitnya malam,
    Adakah sehari bulan purnama.

Hari hujan puyuh mendengut,
   Mendengut mari sepanjang jalan;
Air dalam kapal tak hanyut,
   Kononlah pula kemarau panjang.

Anak ayam turun tujuh,
   Mati seekor tinggan enam;
Angkat sauh alih berlabuh,
   Turun ribut perahu jahanam.

(Dipetik dari buku Kumpulan Pantun Melayu,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

Perulangan yang perlu

Setengah-setengah kata berganda itu perlu kerana apabila digandakan, maknanya menjadi lain daripada makna bentuknya yang tunggal dalam ayat. Contohnya, perkataan "satu". Apabila tidak digandakan, perkataan ini menunjukkan bilangan. Apabila digandakan ia membawa makna lain. Perhatikan ayat-ayat ini:

     1.  Tiap-tiap penumpang dibenarkan membawa satu sahaja beg bimbing ke dalam kapal terbang.

     2.  Tolong susun beg-beg itu satu-satu.

     3.  Inilah satu-satunya karya agung dalam bahasa kita.

Dalam ayat pertama, perkataan "satu" menunjukkan jumlah iaitu "satu" dan bukannya "dua" atau "lebih" (beg).
Dalam ayat kedua, perkataan "satu" digandakan menjadi "satu-satu" dan membawa makna "satu demi satu", iaitu, beg-beg itu hendaklah diatur dalam satu baris dengan tertib.
Dalam ayat ketiga pula, perkataan "satu" yang digandakan itu diberikan akhiran "nya" menjadi "satu-satunya". Maknanya lebih khusus lagi.  Ertinya di sini ialah, "tiada lagi yang lain" atau "cuma itulah sahaja".

Lihat senarai yang berikut:
1. laki/laki-laki.  "Si Ahmad itu laki Si Minah." / "Cuba kau lihat betul-betul. Orang berdiri di bawah pokok itu perempuankah atau laki-laki?"

2. betul/betul-betul.  "Betulkah cikgu kita akan bertukar ke sekolah lain?" /  "Belajarlah betul-betul supaya tidak terbuang masa."

3. main /main-main.  "Setelah puas belajar, mereka pun turun untuk bermain sekejap." / "Janganlah kita mempermain-mainkan orang yang cacat anggotanya."

4.  alang / alang-alang.  "Tolong lontarkan tali buaian ini ke alang tengah rumah tu." / "Bukit itu curam. Alang-alang orang, tak akan dapat mendakinya."

5.  setengah / setengah-setengah.  "Hari ini kita bekerja setengah hari."  / "Pada setengah-setengah hari pula, kita bekerja lebih lewat daripada waktu pejabat biasa."

Begitu pula halnya dengan :  kira / kira-kira, lama / lama-lama, buru / buru-buru, bukan / bukan-bukan, tengok / tengok-tengok, baik / baik-baik, puas / puas-puas, lebih / lebih-lebih, ikut / ikut-ikut, ramai / ramai-ramai dan banyak lagi.

Friday 9 December 2011

Contoh Aktiviti Pengayaan Bahasa Melayu

Kemahiran Berbahasa:

Menulis
8.1 1 (i)  Menulis perkataan dan pelbagai jenis ayat berdasarkan topik yang diberi.

Cadangan Strategi P&P :

1. Guru membahagikan murid kepada empat kumpulan.
2. Guru mengadakan kuiz kumpulan.
3. Murid diminta menyenaraikan seberapa banyak perkataan daripada perkataan PELAJARAN.
4. Kumpulan yang mendapat markah paling banyak dikira menang.
5. Murid diminta menyenaraikan kata-kata yang mempunyai banyak makna.
6. Murid meneliti perkataan dalam kamus dan mencari makna lain bagi perkataan tersebut.
7. Murid membina ayat dengan perkataan tersebut di dalam buku tulis mereka.
8. Guru merumuskan isi pelajaran dan nilai murni.

Cadangan Jawapan:
Perkataan yang dapat dibina daripada perkataan PELAJARAN ialah :
  • ela                                    
  • era
  • epal
  • lanar
  • lelap
  • eja
  • lena
  • ran
  • lapar
  • apa
  • ana
  • arena
  • aral
  • ajar
(Terima semua perkataan yang betul)

Perkataan banyak makna

            Perkataan                      Makna                                       

1.       kemas                            i.  rapi                               
                                               ii.  erat                               
          Ayat :  i.   Rumahnya sentiasa kemas.
                     ii.  Adik memegang tangan ibu dengan kemas.

2.       lanjut                            i.  panjang                           
                                              ii.  mendalam                       
          Ayat :  i.  Dia masih kelihatan muda walaupun usianya telah lanjut.
                     ii.  Cikgu akan menjelaskannya dengan lebih lanjut.

3.       jalan                             i.  tempat lalu lintas            
                                             ii.  cara menyelesaikan sesuatu perkara                                              
         Ayat :  i.  Jalan ke Kampung Aman akan diperlebar.
                    ii.  Mereka masih ada jalan untuk menyelesaikan perkara itu.

4.      pusat                           i.  tumpuan pelbagai kegiatan           
                                            ii. di tengah-tengah                
           Ayat : i.  Universiti itu merupakan pusat pengajian tinggi yang terkenal di Malaysia.
                     ii.  Rumah setinggan di pusat bandar itu akan dirobohkan.

5.      larut                            i.  menjadi cair                      
                                           ii.   telah jauh                         
          Ayat :  i.  Gula yang dimasak itu masih belum larut.
                     ii.  Dia masih belum tidur walaupun telah larut malam.

6.     anggota                       i.  bahagian tubuh                  
                                          ii.  ahli                                    
        Ayat :  i.  Sebahagian daripada anggota badannya telah lumpuh.
                    ii.  Sukiman berminat menjadi anggota bomba.

7.     makan                        i.  memamah serta menelan makanan                                                                
                                         ii.  memerlukan masa             
        Ayat :  i.  Kami sekeluarga selalu makan malam mengikut waktunya.
                   ii.  "Kerja-kerja membaiki jambatan itu makan masa yang lama," kata jurutera itu.

8.     besar                          i.  tidak kecil                          
                                          ii.  penting                            
        Ayat :  i.  Rumah orang kaya itu sungguh besar.
                    ii.  Mereka datang membawa hajat yang besar.

9.     kawat                        i.  berbaris                             
                                         ii.  dawai                                
       Ayat :  i. Latihan kawat sedang diadakan di padang itu.
                  ii. Bapa membeli kawat berduri untuk membuat pagar.
     

10.  tua                              i.  lanjut usia                         
                                          ii. sudah hampir masak         
        Ayat :  i.  Nenek masih kuat walaupun sudah tua.
                    ii.  Buah-buahan yang sudah tua itu perlu dipetik.