Pages

Thursday 17 November 2011

Betapa kompleksnya fungsi bahasa....

Pada hakikatnya bahasa adalah rahmat Tuhan kepada manusia.  Walau apa pun cara orang mengkaji 'peraturan-peraturan' bahasa, namun bahasa dalam penggunaannya mewakili kemampuan manusia mengungkap dan menyatakan nilai dan makna budaya dan kemasyarakatan.  Hampir semua orang dapat bercakap dan yang tahu menulis pula dapat merekodkan bahasa dalam bentuk tulisan.  Namun begitu, bukan semua orang dapat menyatakan apa yang dirasa dan yang difikirkannya dengan sempurna.  Walaupun setiap orang menggunakan bahasa, namun tahap kemampuan menyatakan rasa dan pemikiran kepada orang lain berbeza-beza.
Apakah faktor yang membezakan kemampuan yang dikatakan tadi?  Perbezaan ini sebenarnya berpunca daripada kemampuan yang berbeza-beza dalam penguasaan dan penggunaan makna budaya dan kemasyarakatan yang dikatakan tadi.  Sebagai contoh, untuk meminta seseorang menutup pintu bilik kita apabila dia masuk, berbagai-bagai cara pengucapan dapat digunakan; antara termasuklah:
         1.  Tolong tutup pintu
         2. Tutup pintu
         3.  Sila tutup pintu
         4.  Tutup pintu itulah!
         5.  Boleh tutupkan pintu?
         6.  Kalau pandai buka pintu, tahulah tutup balik!
Kesemua ujaran di atas serupa maksudnya iaitu meminta supaya pintu ditutup.  Ayat ke 5 misalnya, daripada segi strukturnya berupa ayat tanya, tetapi daripada segi fungsinya bukan bertanya sebaliknya 'meminta'.  Begitu jugalah contoh ujaran yang ke 6. Ujaran itu mungkin bertujuan menyatakan kemarahan, atau pun mungkin digunakan untuk tujuan menunjukkan kemesraan kepada seorang sahabat yang amat karib.
Kesemua contoh di atas menunjukkan betapa kompleksnya fungsi bahasa.  Berbagai-bagai ujaran dapat digunakan hanya untuk meminta seseorang melakukan sesuatu, tetapi ujaran yang berbagai-bagai ini harus pula sesuai dengan situasi yang wujud pada masa ia digunakan.  Oleh sebab itu, untuk membolehkan seseorang berkomunikasi dengan orang lain secara berkesan, maka kemahiran mengenai kesesuaiannya dengan situasi budaya, haruslah dikuasai terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment